Showing posts with label Resipi. Show all posts
Showing posts with label Resipi. Show all posts

Sunday, September 25, 2011

Alhamdulillah



Salam pagi ahad yang indah. Pagi ini baru dapat angkat muka. Sudah beberapa minggu ini tanat mengejar deadline yang tak mahu menunggu. Memang betul sekali, waktu ini jika dikejar, dia makin pantas berlari. Hingga kita lelah dan tersesat sendiri, tak dapat jalan pulang.

Oh Yah! Sambutan lebaran anda bagaimana? Kami di sini masih lagi hangat berkunjung ziarah ke rumah sanak-saudara dan teman-teman.

Semalam di ofis, sempat jua beraya di Jabatan Perangkaan. Suasana cukup meriah. Hidangan pun penuh meja, ada bermacam-macam jenis mi yang disajikan. Tak ketinggalan Nasi Ayam Penyet dan berbagai-bagai lagi juadah yang mengecurkan. Tak larat nak memakan semua.

Pada malamnya pula beraya lagi pada sahabat yang tinggal di Kg.Telanai. Pun jua sama, meriah dengan anak-anak riang ribena yang bermain unggun api di halaman rumah. Di dalam, hidangan berbagai-bagai sudah sedia menunggu. Dengan ketupat, lemang dan rendang. Pulut hitam, puding oreo dan kek cawan lengkap menyerikan meja hidangan. Memang sedap hingga Leyn menjilat sudu. Terima kasih kak Ann jangan jara menjamu kita-kita ini. Dan ampun sesangat, anak-anak kakmOn ni memang tak senonoh sungguh. Haisy...

Ok, kita tinggalkan sketsa berhari raya di hari sabtu itu. Di bawah ini kakmOn kongsikan juadah hari jumaat lepas, sewaktu rombongan I.S berkunjung di rumah. Nanti kakmOn stori-mori tentang rombong itu yah.



Roti Bakar Daging Romano Berkeju

10 keping roti sandwich
1 cawan daging cencang
1 ulas bawang putih di cencang
1/2 cawan sos Tomato Klasik Berkeju Romano - RAGULETTO
1/2 cawan sos cili - LINGHAM
1/4 cawan minyak zaitun
Secubit garam
Secubit oregano
Keju Parmessan diparut

Tumis bawang putih bersam minyak zaitun hingga keperangan. Masukkan sos tomato dan sos cili. Masukkan daging cencang. Masak 10minit.




Ambil sekeping roti paun dan tambahkan daging yang dimasak sebentar tadi. Parutkan parmessan keju di atasnya. Bakar hingga keperangan.



Hidangkan bersama sup cendawan sementara masih panas.



Akhir kalam, terimakasih pada teman-teman yang sentiasa meninggalkan komen dalam entri-entri yang ku kongsikan itu. Aku memang cukup gembira membacanya. Moga kita bertemu lagi di lain waktu. Salam sayang pada anda semua..

Sunday, July 10, 2011

Detik Waktu



Lewat jendela kamar ini, ku lihat sekuntum bunga seroja sedang mekar indah. Cukup untuk mendamaikan keresahanku.



Di belakang enche roommate sedang mengetam rumput lengkap dengan kacamata, sarung tangan, ear plug dan safety boot. Itulah cogan kata Tuan Minyak Tanah yang dibawanya balik kerumah. "Berhati-hati di jalan raya."



Semenjak cik Cobra itu menelan seekor kodok di depan mataku dua minggu lalu, aku sudah tidak berasa aman untuk duduk di patio belakang itu lagi sendirian. NGERI.



Dan balik aja enche roommate barulah berani lagi duduk bersantai di kebun belakang. Rupanya puteri bawang yang kami tanam itu sudah membuahkan hasil.



Dan kebetulan tengahari itu enche roommate membawa pulang sekilo ikan salmon. Lalu puteri bawang itu ku korbankan untuk juadah tengahari kami.



French Salad

Sos:
1/4 cawan jus lemon
1/2 cawan minyak zaitun
2 sudu gula
1 sudu teh garam
1 batang daun bawang cencang
1 ulas bawang putih cencang
1 biji cili merah cencang
Masukkan semua bahan simpan dalam balang kaca, perap dalam peti sejuk 30 minit. Tahan disimpan lama untuk satu minggu sahaja.



Salad:
1 pohon salad hijau
3 kelopak kobis ungu
1 biji bawang Bombay dibelah lapan
1 biji lobak merah
1 biji cili merah cencang.
50 gram goat cheese
Semua bahan disatukan dan tuang ke atasnya sos di atas. Hidangkan terus ke meja.



Salmon Khan
1 sudu lada hitam ditumbuk kasar
1 sudu makan garam laut
1 biji lemon
3 ulas bawang putih cencang
1/2 cawan minyak zaitun
Perap sejam dan goreng dengan menggunakan non-stick pan mengikut suka. Jika nak well done, biar lama di atas api. Angkat dan ketepikan. Dengan menggunakan pan yang sama, tuangkan lebihan sos perapan tadi dan tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan sos lada hitam Sarawak dan masak hingga sedikit pekat. Tuangkan ke atas salmon tadi. Hiaskan dengan daun bawang, lemon, lobak merah, bawang Bombay dan cili merah.



Sebenarnya entri di atas sudah berapa hari di dalam saved draft, tak sempat mengirimkannya. Baru malam ini terasa lapang sedikit setelah pulun berapa waktu menyiapkan projek mega Negara. Bila sudah semua selesai baru terasa lega dan lena tidur.

Di bawah ini ku tinggal cerita majlis tahlil buat bonda yang telah tujuh tahun pergi menemui penciptanya. Al-Fatihah buat bonda.








Dan yang duduk di sofa itu adalah pengganti bonda kami a.k.a ibu saudara yang di cintai :)

Salam 12 Sya'ban semua.

Friday, June 24, 2011

Alhamdulillah Ya Allah



Salam jumaat yang barakah. Kebelakangan ini kesihatanku meredum jatuh, acap kali terlihat bintang-bintang sedang berpusar-pusar di atas kepala. Ada waktunya aku hilang kawalan lalu tumbang. Tapi aku masih bernasib baik, bisa bangun lagi sendiri.. Alhamdulillah.

Tadi pagi sekali lagi penglihatanku hitam. Sedar-sedar aku cuma mendengar bunyi hentakkan kuat. Rupanya aku sudah melanggar buntut kereta di depan. Ya Rabbi...

Dan aku masih bersyukur tiada kejadian apa-apa berlaku. Tiada orang yang tercedera, cuma lampu kereta orang itu saja pecah dan aku kena ganti..



Oh yah! Kita sudah di penguhujung Rejab dan sebentar lagi Sya'ban menyapa. Nak tanya, sudah siap qadha puasa Ramdhan tahun lepas ka? Kalau belum, mari kita sama-sama berpuasa qadha di bulan Allah yang menyimpan beribu rahsia ini.

Dan di bawah ini aku kongsi hidangan waktu berbuka kami yang amat sederhana...



Buah kurma adalah menu yang mesti ada bagi keluarga kami waktu berbuka.



Alhamdulillah..  Air zam-zam pun masih lagi ada tersimpan di dalam stok.



Buah sikoi penyejuk tekak dan amat manis rasanya, sesuai waktu panas begini. Dan Keu Teow goreng itu amat menyelerakan dan sangat mudah menyediakan, seperti abc. Jom kita masak sama-sama




1 - Sediakan, 3 biji bawang merah, 2 ulas bawang putih, sebiji cili merah dan seikat sawi kuning. Bersihkan dan potong mengikut suka. Ketepikan.

2 - Isi ayam  di potong kecil.



3 - Tumis bawang hingga garing bersama 1/2 cawan minyak bijan. Masukkan isi ayam. Goreng hingga isi ayam masak.



4 - Masukkan 1 sudu besar cili kisar, cili merah, batang sawi. Masak sekejap.



5 - Masukkan 2 biji terlur. Gaul sekejap.



6- Masukkan keu teow, sos tiram dan kicap pekat. Gaul sebati. Masak sekejap lagi.



7 - Akhir sekali masukkan daun sawi. Matikan api. Hidangkan panas-panas..



Kan dah siap. Mudah dan meriah.

Akhir kalam, banyak-banyaklah berzikir kepada-NYA, moga kita semua diampunkan-NYA. Hingga ketemu lagi di lain kesempatan... Sayang semua.

Tuesday, June 14, 2011

Hujung minggu



Salam pagi selasa. Apa khabar anda semua. Durian yang menggoda di atas itu, kita tinggalkan dulu.. Aku cerita fasal libur malam sabtu yah!

Cuti sekolah sudahpun bermula seminggu yang lalu. Anak-anak riuh mau pergi bersuka-ria. Tapi aku dan bang Mat tidak punya waktu untuk itu. Kiri-kanan, depan-belakang, majlis kenduri kahwin memenuhi hujung minggu. Jadi untuk tidak mengecewakan anak-anak, aku sarankan kami 'bercamping' saja. Lutfan dan Leynah sudah mula excited mendengar perkataan 'camping' itu. Bila mereka tahu aktiviti itu cuma di belakang rumah, muncung mereka bertambah panjang berganda-ganda. Tak apalah. Nanti mereka pasti suka dengan idea main bunga api yang ku rahsiakan itu.

Petang sabtu, balik kerja itu aku cuma sempat membeli sayur, buah-buahan dan sushi sahaja di pasar raya Hua Ho. Lalu abang ku pinta untuk singgah ke Restoran Charcoal membeli pizza tulang sirip yang sedap itu sebelum dia pulang ke rumah balik kerja nanti. Nasib baik pagi tadi bang Mat sudah ke pasar membeli salmon dan paha kambing biri-biri. Sampai di rumah aku terus memerap ikan salmon bersama lada hitam + jus lemon +  garam laut  + bawang putih +  minyak zaitun. 

Lepas solat maghrib aku memerap lagi paha ayam bersama asam jawa + serbuk kunyit + cili kisar + garam, untuk barbeku nanti. Rasanya menu malam nanti sudah terlalu banyak, aku mengira-ngira dalam hati. Ada lauk tengiri singgang, salmon salai sos lada hitam, ayam barbeku, brokoli sos tiram, sambal udang petai(selera Reyma), sushi, pizza dan mi hoon goren(terimakasih klavu). Nanti tak larat pulak nak menghabiskannya. Lalu paha kambing, aku simpan kembali ke dalam peti ais. 

Dan lepas solat isyak, abang baru mula menghidupkan api untuk barbeku. Alahai.. bila masa nak makan ni. Perut pun dah mula bernyanyi. Lalu aku ambil jalan pintas, memasukkan paha ayam itu kedalam ketuhar sementara menanti arang-arang itu menyala.

Bang Mat yang baru datang dari masjid, mengangkat kening padaku, tangannya di pusar-pusarkan di atas perut. Awwwwww.. Lalu anak-anak ku kerahkan untuk menyiapkan meja makan. Aku sudah 'kelam-kalibut' mematah-matah daun salad bersama Azmina. Buah epal merah dan buah pear kami potong dadu. Kemudian ku masukkan semuanya ke dalam mangkuk daun salad tadi. Ku tambahkan lagi buah anggur. Kini tinggal membuat dressingnya saja. Tangan ku laju menuang minyak zaitun + jus lemon + cili hidup cencang + daun saderi cencang + French tarragon, ke dalam sebiji mangkuk. Aku kocok dengan garfu, lalu ku tuangkan ke dalam salad tadi. Akhir sekali ku taburkan garam dan lada hitam. Walah.. *dengan mengangkat jari ke mulut gaya Michael Dixon Smith ~ Chef At Home AFC*

Dan pesta makan-makan pun bermula dengan 'meriah'...

Dan foto di bawah ini hanya segelintir saja yang sempat kakak snap, acara 'gede-gede' kita sudah jadi haru biru, kerna semua orang sudah kebulur. Siap makan, aku baru mula mengarahkan kakak dan abang menarik 'layar putih' untuk menonton 'wayang kita'; UP.  

Belum movie UP tamat, hujan 'mengurabat' turun. Abang lintang pukang menarik kabel api yang berselirat di atas tanah. Dan kami terpaksa gulung kembali perkhemahan kami yang baru sahaja nak bermula. Jadi, janganlah menunggu pesta bunga api itu yah! BATAL.


klik foto ini untuk melihat paparan yang lebih besar 

Sebelum aku lupa, kita kembali semula berbicara pasal durian di atas itu lagi.. Durian monthong adalah mahluk Allah yang sangat lunak, gebu, sedap dan wangi. Seulas memang sudah cukup kenyang buat selera kakmOn. Maka sisa durian yang tinggal 3 ulas itu aku tanak bersama gula pasir dan sedikit air, lalu ku hidangkan bersama bubur pulut hitam untuk juadah berbuka puasa... Pada yang tergoda, anda boleh korek resipinya di bawah ini:




Ooooops matahari sudah keluar.. Aku terpaksa pergi sekarang. Nanti kita bicara lagi... Selamat menjamu selera..




Hikmah bulan Rejab
1 - Berpuasa sunat 19hari - maka Allah akan membena sebuah mahligai di syurga untuknya.
2 - Berpuasa sunat 16hari - mereka akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga.
3 - Berpuasa sunat 15hari - maka Allah akan memberi pahala seperti berpuasa seratus ribu tahun(menurut Syaidina Ali)

Wednesday, June 08, 2011

The Rest Of My life



Sambal Ikan Bakar

1 ekor ikan bakar yang sederhana besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang Bombay
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar sos cili Lingham
1 sudu teh puri tomato
1 sudu makan sos tiram
1 lembar asam keping
1 cawan air
Daun kari secukupnya
Garam dan serbuk perasa, secukup nikmat



Tumis bawang merah dan bawang putih hingga keemasan. Masukkan cili kisar, sos cili, puri tomato, sos tiram dan asam keping. Goreng lagi sebentar hingga pecah minyak. Masukkan ikan bakar dan air. Masak hingga sosnya pekat. Masukkan daun kari dan bawang Bombay, masak lagi sebentar, baru angkat dari api. Hidangkan bersama nasi.



Salam pagi rabu yang redup. Semalam hujan lebat dari petang hingga ke malam. Melihat cucuran hujan lewat jendela kamarku, nampak begitu indah dan mendamaikan hati. Suara burung kedengaran bercicipan di kejauhan. Kesian mereka kesejukan.



Baru-baru ini ada teman FB meletakkan lagu The Rest Of My Life ~ Maher Zain di dindingnya. Yang hendak aku perkatakan di sini adalah background lagu tersebut; Movie UP. Selepas melihat pertama kali.. jariku terus menekan punat replay berkali-kali. TIDAK JEMU. Hati tersentuh melihat suami yang begitu penyayang lagi setia pada isterinya. Sehingga kasih sayang Carl dan Ellie itu membuatkan aku teruja untuk meletakkan mereka di atas kek ku.



Alhamdulillah, UP yang memberi sumber inspirasi itu dapat jua ku hasilkan dalam waktu kecederaan. Insya Allah jika ada waktu aku ingin mengulanginya semula.. Membuat yang lebih baik. Dan jika diizinkan-NYA, aku ingin merakamkan perkahwinanan mereka pula. Doakan akan keberhasilanku yah...

Di bawah ini foto perkahwinan anak saudara bang Mat di Sungai Berunai sana. Moga kasih sayang mereka jua sama seperti cinta Carl dan Ellie. Cinta hingga ke hujung nyawa.



Sehingga kita bertemu lagi di di kesempatan yang lain. Dan syukran jazilan pada nikmat hujan yang diturunkan-NYA.Alhamdulillah..



Salam kasih sayang buat anda semua.

Wednesday, June 01, 2011

Selamat tinggal Jamadil Akhir.



Salam semua. Kita sudah berada di penghujung Jamadil Akhir. Lusa adalah bulan Rejab, bulan Allah. Bulan pengampunan. Juga bulan di mana nabi Muhammad s.a.w di angkat ke langit; iaitu peristiwa Israk dan Mikraj pada 27hb Rejab. Anda ingat itu kan?

Sebenarnya terlalu banyak kelebihan dan keistimewaan di bulan Rejab ini Allah berikan kepada umatnya. Pahala berganda-ganda. Keampunan yang nyata bagi mereka-mereka yang benar-benar ingin bertaubat nasuha atas dosa-dosa yang telah dilakukan. 

DIA, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang pada hamba-hamba-NYA. Cuma kita sahaja yang selalu lalai dan melupakan-NYA.  Maka bagi kita-kita yang terleka jauh, marilah kita balik semula ke jalan yang diredhainya dan sama-sama mengutip pahala yang berganda-ganda itu. Moga kita diketemukan juga bulan Sya'ban dan seterusnya Ramadhan, yang ditunggu-tunggu. Amin Ya Rabbalallamin  

Akhir kalam, aku tinggalkan anda dengan Mi Goreng Tai Thong yang mudah lagi sedap untuk berbuka puasa di bulan Rejab nanti. Silakan..

Rebus mi Tai Thong hingga lembut.



Tumis bawang merah dan bawang putih hingga garing. Masukkan udang kering, cili kisar, sos tiram dan sos cili. Masak lagi sebentar.



Kemudian masukkan cili hidup dan batang sawi. Masak sebentar. Masukkan mi Tai Thong. Gaul sebati.



Tambahkan kicap pekat.



Masukkan daun sawi.



Telur dadar separuh masak(kuali berasingan)




Masukkan telur dadar kedalam mi goreng. Gaul sebati.



Hidangkan sementara masih panas.






Diantara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ialah beristighfar kepada-NYA dan berselawat ke atas nabi junjungan kita; nabi Muhammad s.a.w.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : ” Barangsiapa yang membaca salawat untuk ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”.


[Riwayat At-tabrani].