Tuesday, January 26, 2010

Pulau Sapi



Salam semua.. Harap anda semua dalam keadaan baik-baik saja yah. Aku sambung lagi cerita 'Ziarah' kami yang tergendala beberapa hari lalu.

Aku tersangat sibuk kebelakangan ini. Terlalu banyak kerja yang perlu ku siapkan dengan kadar SEGERA. Dan aku mahu sebelum tibanya Februari, aku sudah siap untuk satu 'Mega Projek' yang sudah lama kurangkakan. Harap-harap... waktu mahu bersahabat dengan ku. Moga dipermudahkanNYA.

Di sini, aku titipkan foto-foto kami di Pulau Sapi seperti yang aku janjikan. Pulau ini adalah pulau yang tercantik diantara ketiga-tiga pulau yang telah kami singgahi. Anda boleh menilainya sendiri...

Di seberang itu adalah Pulau Gaya Besar. Nampak cantik persekitarannya. Khabarnya di dasar laut diantara kedua buah pulau ini terdapat hutan batu karang yang penuh berwarna-warni. Tidak hairan kalau kita lihat dari Pulau Sapi ini banyak boat mewah yang berlabuh di situ. Mereka sedang menyelam dan bermain-main dengan mahluk Tuhan yang cantik di dasarnya.



Sebenarnya.. kita boleh menyeberang dari Pulau Sapi ke Pulau Gaya dengan hanya berjalan kaki sahaja. Bayangkan??? Ajaib bukan???

Lihat di bawah ini... anda pasti nampak seperti jambatan di antara dua buah pulau itu kan??Sebenarnya itu adalah kawasan yang tercetik. Di kala air surut, pasir itu bagaikan satu jambatan untuk kita berhubung diantara satu pulau dengan satu pulau yang lain. Sungguh hebat bukan??? Maha besar Tuhan, yang mencipta sekalian alam.



Padahal, hujan turun menyelubungi pulau ini, tapi kami terlalu ghairah dengan penghuni di dasar laut Pulau Sapi ini... cukup memukau.





Lihat... anak-anak ikan berebut-rebut mengambil roti paun yang kami taburkan.. Sungguh mesra alam rakyat jelatanya...








Cuaca semakin buruk. Awan gemawan berkumpal-kumpal hitam. Langit seperti akan mahu runtuh. Akhirnya kami beralah. Dengan langkah yang berat kami tinggalkan segala keindahan ciptaan Tuhan ini dengan rasa bercampur-campur.




Memori indah ini ku lipat, lalu ku bungkus kemas di dalam sanubari. Moga satu waktu... aku bisa bertandang lagi kesini. Yah! Satu waktu...

Sunday, January 24, 2010

'Tanat'



Salam pagi ahad yang indah. Alhamdulillah, tiga hari kebelakangan ini kita disimbahi cahaya sang mentari yang cukup gemilang setelah tanat(pulun) seminggu kita diselaputi mendung awan hitam yang murung.



Akibat komputerku diserang 'cacing' segala bagai, semua kerjaanku tertunda dan bertambah berganda-ganda. Selepas libur tahun baru itu, aku tanat mengejar deadline yang di hujung nyawa.

Dan pagi ini aku kembali bernafas bila bebanan kerjaan itu sudah hampir 85% siap. Alhamdulillah...

Harap petang ini aku bisa menyelesaikan 'projek Jari Amaiku' yang sudah lama menunggu minta didandani.



Sampai ketemu lagi nanti yah. Selamat berhari minggu semua...

Monday, January 18, 2010

Pulau Mamutik

Dari Pulau Manukan, kami belayar lagi menuju ke Pulau Mamutik. Cuma 8 minit sahaja perjalanan. Walau hujan mula turun, namun tidak mematahkan keinginan kami untuk menrokai pulau yang terkecil diantara pulau-pulau di Taman Negara Tunku Abdul Rahman.





Belum sampai ke jeti, kami sudah nampak ikan-ikan jinak bermain-main di lautnya yang tersangat jernih itu. Batu-batu karang jua turut jelas kelihatan di dasarnya. Sungguh indah sekali ciptaan Mu ini ya Tuhan... Terimakasih atas nikmatMu...













Di daratannya pula, ada challet comel dibangunkan untuk mereka-mereka yang teringin bermalam di situ. Pokok-pokok Rhu berbaris menjadi penongkah angin. Sungguh sejuk persekitarannya.

Restoran dan surau pun turut jua disediakan. Memang kelengkapan semua tersedia, cuma tinggal menyediakan ongkosnya aja..

Dan ini adalah skulptur dibena bersempena AVF 2005 (Abu "Voyage to the future"). Ia di payungi oleh sepohon pokok yang rendang yang sedang lebat berbuah. Buahnya amat unik sekali.



Buahnya berbiku empat. Di bahagian bawahnya mempunyai bunga rambu-ramba, juga berkelopak empat. Rambu-rambanya bewarna kuning susu dan di hujungnya merah jambu. Kelopaknya juga berwarna kuning susu.



Bagai bunga-bunga buah jambu saja nampaknya, kan??? Cuma bezanya bunga buah jambu lebih kecil dari buah yang unik ini.



Sementara bang Mat pergi ke surau, aku pergi ke restoran untuk membeli makanan dan minuman. Sungguh mengejutkan, harga makanan di Pulau Mamutik ini tidaklah seteruk yang dihebahkan.



Kami menikmati hidangan tengahari di bawah pohon yang unik itu. Nasi berlaukkan daging halia, ikan fillet masam-manis dan sayur goreng kailan bersos tiram. Satu hidangan yang biasa-biasa aja, namun cukup membuka selera kami enam beranak di pantai yang indah itu. Apalagi bila tercium harumnya bau ikan panggang yang dibakar di atas daun pisang oleh 'jiran sebelah' kami.

"Indapalah... kali ani tani cium bau saja..." Aku mengusik Lutfan yang terkecur dengan hidangan orang sebelah itu. Lutfan terus mendengus.

Selepas makan, anak-anak berendam lagi di pantai yang seksi itu. Tidak mahu melepaskan kesempatan yang memang TIDAK ada kali kedua atau ketiga. Itulah yang dirasakan oleh Leyn dan Lutfan saat itu.



Kami tidak lama di situ. Kerna masih ada satu pulau lagi yang akan kami singgahi di perjalanan pulang nanti. Dengan aiskerim di tangan kami terus menuju jeti dan meninggalkan pulau yang terindah itu bila sudah hampir pukul tiga petang.

Sampai ketemu lagi. Tunggu kami di Pulau Sapi yah.



Thursday, January 14, 2010

Pulau Manukan



Bermula di Jesselton Point. Kami sampai seawal pukul 7:00 pagi. Suasana sejuk dan lenggang. Laut berolak lembut. Di kejauahan berbalam-balam tiga buah pulau seperti terapung-apung di dada laut.  Di langit awan gemawan berarak mendung. Tanda-tanda hujan tidak lama lagi akan turun.



Khabarnya di pulau itu makanannya mahal berganda-ganda. Jadi... kami bergeggas masuk ke-food court untuk mengalas perut sebelum Tuan boat itu tiba. Penjual makanan belum lagi siap memasak hidangan. Cuma ada mee goreng dan nasi lemak sahaja tersaji dikaunter hidangan.  Lalu kami memilih mee goreng dan telur mata lembu sahaja mnjadi 'selingan'.

Siap kami bersarapan Tuan boat itu belum jua muncul. Lalu kesempatan ini ku manfaatkan dengan membeli lagi makanan dan minuman untuk bekalan di pulau nanti.



Setengah jam menunggu baru bayang Tuan boat menyapa kami. Masaalah lagi...



Memandangkan kami cuma enam orang maka Tuan boat meminta kami membayar sewa boat untuk satu pakej RM$400+++ atau kami terpaksa menunggu lagi 6 pelanggan untuk memenuhkan seat boatnya. Bang Mat memilih MENUNGGU.



PENAT menunggu masih belum ada jua pelanggan, akhirnya Tuan Boat itu pun mengalah. Kami pun mula bertolak ke pulau Manukan dengan hati yang berbunga-bunga..

Satu kilometer belayar, kelihatan seorang nelayan tua tegar berdiri mengayuh sampan di dada laut. Dia cuma memakai seluar 'pelarut' tanpa berbaju. Urat dawai jelas kelihatan di kedua belah tangannya. Sorotan matanya jelas memancarkan dia masih gagah menongkah arus kemodenan. Tiba-tiba aku teringat ninda yang telah tiada. Terbayang saat kami di perjalanan pulang dari Temburong, bila melihat air sungai tengah mula surut, ninda cepat-cepat melabuhkan pukatnya untuk menangkap Kitang dan Kembura. Manisnya kenangan itu.



Tidak sampai dua puluh minit belayar, kami sudah nampak pulau Manukan begitu cantik melambai-lambai kami datang. Airnya nampak berlapis-lapis. Hijau dan biru. Semakin rapat .. semakin hati berdetak. Subhanallah, sungguh indah ciptaanMu ya Tuhan.





Saat melangkahkan kaki di atas jeti kelihatan anak-anak ikan yang berwarna-warni berebutan mematuk roti yang di taburkan oleh tetamu. Sungguh comel kelihatannya. Aku terpukau sesaat.

Anak-anak sudah melompat-lompat, tidak sabar ingin menyelam. Apalagi melihat tetamu pulau itu sudah ada yang turun ke-gigi pantai bermain dengan anak-anak ikan.



Sampai di daratan, kami disambut oleh Sutera Sanctuary Lodges yang mempamirkan hiasan dalaman yang cukup memukau.. Dekorasi perabot kayu dengan gaya Bali itu benar-benar sekata dengan persekitaran pulau itu. Suasananya bertambah romantis dengan pantulan cahaya lampu meja. Apalagi bila aroma wangian aromatherapy kayu-kayan dinyalakan, benar-benar melapangkan kepala.  Rasanya aku ingin guling-guling di ruangan syahdu itu, di saat itu jugak.





Anak-anak sudah tenggelam dengan keindahan pantai itu. Sekejap-sekejap Lutfan tercungap-cungap menahan diri dari terminum air laut yang TERSANGAT masin itu. Leyn sudah lupa dunia.



Penat menyelam, anak-anak 'maruah' makanan yang ada. Bila sudah perut bernyanyi semua makanan jadi terekstra sedapnya. Abang dan Leyn membalun donut Big Apple, sisa semalam. Lutfan dengan sandwich yang dibeli di jeti tadi. Bang Mat dan kakak menyapu mee hoon.



Lepas makan abang dan Lutfan menyambung aktiviti menyelam lagi. Bang Mat sudah terlelap dibuai bayu laut yang nyaman. Aku, Leyn dan kakak meninggalkan bangku, lalu meneroka kearah daratan pulak. Ada beberapa buah challet  untuk bermalam terdapat disitu. Diperbuat daripada kayu, nampak cantik dan nyaman persekitarannya.





Di sebelah belakang, pulau ini menghadap ke Laut China Selatan. Tebingnya tinggi, kira-kira tiga meter dari aras pantai.



Ombaknya agak kuat dan anginnya sangat kencang. Batu karang berhamparan di situ. Pasirnya kasar dan tajam, warnanya sedikit gelap. Benar-benar kontras dengan  yang di depan.





Aku sempat mengambil beberapa biji batu karang yang nampak unik untuk dibawa pulang sebagai kenangan.



Tepat jam 11:30 pagi, kami tinggalkan Pulau Manukan dalam hujan yang merintik.



Oooops... Kita sambung lagi nanti yah, cinta tertinggal di Pulau Mamutik.


Sunday, January 10, 2010

Dari desa ke kota

Selepas bersarapan, kami meninggalkan desa permai bonda saudara bang Mat menuju kesempadan Lawas Sarawak; iaitu Sindumin Sabah, yang cuma enam minit memandu dari rumahnya.




Suasana di checkpoint Sindumin pagi itu tenang aja. Kami cuma mengambil beberapa minit saja untuk mencop passport dan seterusnya memasuki negara di bawah bayu itu dengan aman.

Dengan berpandukan peta perjalanan, kami terus menyusur dari sebuah desa kesebuah desa yang lain.






Perjalanan yang menyeronokan dengan pemandangan yang hijau seluas mata memandang. Apalagi bagi Leyn dan Lutfan yang pertamakali baru melihat sawah terbentang nan luas, tersusun rapi di depan mata, kelihatan cantik bagai dalam lukisan kanvas sahaja rasanya.








Tika sampai di jambatan besi di pekan Beufort, anak-anak pada riuh bagai jakun, dengan mata yang bulat melihat di seberang sana ada papan tanda, laluan keretapi...









Tiba di bandar KK jam baru menunjukkan pukul 9:30 pagi. Kami menyusuri bandaraya KK dengan mengimbau kembali sepuluh tahun yang lalu. Memang pembangunan bandaraya itu cukup pesat. Gerai-gerai makan di sepanjang jalan di tepi laut  itu sudah digantikan tempat riadah yang baru.





Singgah ke Burger King mengalas perut sebelum checkin kehotel.





Selepas membalun burger yang tak sebesar mana kami meronda gerai-gerai kecil yang ada dekat-dekat situ sehingga hampir masuk waktu tengahari. Dan... aku terjumpa MURAL di celah-celah bangunan di kotaraya KK. Jari amai siapakah ini???



Sampai di hotel, kami disambut denga pakcik Santa. Baru teringat hari ini adalah Hari Natal. Patutpun.. patutpun..







Kamar kami menghadap kelaut. Dari jauh nampak berbalam-balam pulau Menukan dan Memutik. Indah sekali kelihatannya. Hati semakin bergetar.



Sementara mereka yang laki-laki mencari masjid untuk solat jumaat, kami yang perempuan ini terus saja landing, beradu. Sedar tak sedar.. bang Mat sudah berkicau menyuruh kami cepat bersiap untuk mengisi perut yang sudah semakin kuat menjerit.

Setengah jam putar-putar di kotaraya mencari parkir, akhirnya kami dapat satu petak tidak jauh dari restoran 'Resispi Rahsia'. Dengan tidak berfikir panjang lagi kami terus saja masuk kesitu. Ruangan benar-benar padat, banyak yang menunggu.

Minuman dan aiskerim sudah hampir habis kami balun, namun hidangan belum jua sampai sepenuhnya. Cuma ada nasi ayam kakak dan lamb shank stew. Jam sudah menunjukan hampir pukul 3:00 petang. Bang Mat sudah 'merajuk'. Akhirnya kami tinggalkan restoran itu setelah membalun apa yang ada dimeja. BATAL. Wrong timing dear...








Cukup disini dulu yah, nanti... kalau ada waktu kakmOn sambung kembali cerita di pulau itu secepatnya.