Tuesday, December 20, 2011

Libur..

Selamat malam semua. Bagaimana hujung minggu anda? Hujung mingguku adalah yang paling produktif kali ini. Aku berjaya menghasilkan 3 resepi baharu yang sedap untuk Sinah Bisc dan sebiji kantung beg dari kain kapas yang sungguh manis untuk ulang tahunsaudaraku yang sudah expired. Alhamdulillah pada DIA yang memberiku tenaga dan ilham.





Cuba perhatikan pada kantung beg di bawah ini.. Anda nampak apa?



Kerlipan cahaya bergemarlapan, kan? Ada banyak cerita di sebalik cahaya lip-lap itu. Biarlah rahsia..







Cerita yang tragis.. tapi di hujungnya amat MEMBAHAGIAKAN.



Oh yah! Hujung tahun ni pasti ada yang ingin bercuti atau sedang dalam perjalanan. Kita di sini pun akan pergi lagi bercuti ke pergunungan. Ingat tak daerah Kundasang? Negeri di bawah bayu itu.

Insya Allah esok pagi, kami sekeluarga akan memulakan perjalanan dari Bandar Seri Begawan-Limbang-Temburong-Lawas-KK-Kundasang. Harap-harap cuaca mahu bersahabat dengan kami. Dan doakan kami selamat di dalam perjalanan ke sana dan selamat sampai ke rumah. Hati terasa sayat bila mendengar berita buruk tadi petang yang mengorbankan enam orang Brunei yang mendapat kemalangan di Ranau-Tampuruli. Percutian yang mengembirakan menjadi sebuah tragedi yang memilukan. Salam takziah pada semua keluarga yang terlibat.



Moga DIA merestui perjalanan kami. Ya Hayyu Ya Qayyum birahmatika ya astaghith..

Saturday, December 10, 2011

Sabtu yang indah..



Salam pagi sabtu yang indah. Lutfan dan Leynah sedang berlibur di rumah ayahanda, di kampung, sejak semalam. Terasa amat sunyinya bila anak yang dua orang itu  tiada di rumah. Adusss..

Di luar sang mentari begitu gemilang cahayanya. Si-abang sedang mengemas kamar tidurnya bersungguh-sungguh.. dan sedang berusaha menarik tilam tidurnya ke taman belakang untuk dibersihkan. Bayangkan di dalam kamarnya itu segala kasut bola yang berlumpur, kayu hoki dan segala peralatan mainan sukannya disumbat di situ tanpa dibersihkan dahulu. Baunya? Mak aiiiiiiiii. Mau tumbang bang Mat dibuatnya. Lalu.. sebelum bang Mat pergi out-station, awal-awal lagi bang Mat berpesan.. "Abang! Exam sudah habis. Cuti sekolah ani.. babah inda mau meliat raban ayam lagi". Adieeeeeeh..

Si-kakak pulak sedang goyang kaki menonton movie dari komputer ribanya, sambil menikmati kek cawan keju beribiru di ruang tengah. BAHAGIA sungguh dia, tiada anak dua orang itu yang menganggu.

Dan aku?



Terlalu banyak di dalam fikiranku saat ini. Idea yang samar-samar dulu, kini mula terbentuk dan memberi motivasi yang cukup luar biasa. Jadi aku kena cepat bekerja dari sekarang. Tinggalkan angan-angan kosongmu itu Nina..



Hingga ketemu lagi di lain waktu. Aku tinggalkan anda deangan 'mimpi-mimpi' indahku di bawah ini. Moga hujung minggu anda juga ceria.. seceria burung murai di belakang rumahku..





Wednesday, November 02, 2011

Yuhuuuuuu

Salam pagi rabu yang indah. Apa khabar abiskita di luar sana? Raya Haji cuma tinggal kurang dari 5 hari saja lagi. Sudahkah abiskita bersedia? Pasti ada sudah siap merancang untuk membuat majlis ibadah korban nanti, kan?

Oh yah! aku ingin berkongsi cerita di sini.. Sinah Bisc kembali aktif seperti sedia kala. Dan sekarang sedang giat mengadadakan aktiviti yang mengujakan di MukaBukunya. Hadiah-hadiah yang mengecurkan sedang menanti abiskita.. Jika inginkan hadiah manis di bawah ini jangan tunggu lama lagi.. Cepatlah kesana dan jangan lupa tekan butang LIKE untuk menyertai permainan yang sedang berlangsung sekarang ini.














Tunggu apa lagi.. cepat sebelum abiskita terlambat..



Dan sebelum aku berundur diri, ada satu lagi cerita yang ingin ku kongsikan bersama di sini. Hari ahad lepas Sinah Bisc sekali lagi mengadakan kelas deko kek cawan. Suasana cukup meriah dengan adik-adik kita yang sporting habis.. Masa 7 jam berlalu begitu pantas tidak terasa... Nak tahu cerita selanjutnya sila pergi ke Sinah Bisc Bakery sekarang.



Akhirnya mereka membawa pulang hasil kerja tangan mereka dengan senyuman lebar di muka dan rasa puas di dada. Mereka memang luar biasa HEBAT.



Akhir kalam,"Jika sesiapa menginginkan dunia, hendaklah berilmu. Jika sesiapa menginginkan akhirat, hendaklah berilmu. Dan jika sesiapa menginginkan kedua-duanya, hendaklah berilmu". Dan renung-renungkanlah kata-kata hikmah itu.

Salam sayang buat abiskita semua.

Monday, October 24, 2011

Bahagia



Selamat malam semua. Pasti ada yang sudah masuk beradu di saat-saat begini. Pada mata yang tidak mahu terlelap, mari kita sama-sama berkongsi rasa di sini.




Sudah lama teringin mengirim khabar. Tapi talian internet seperti biskut. Untuk mengirim sebuah foto pun amat azab. Enche Picasa tidak mahu bersahabat. Kenapa yah? Pening cik Bedah tau..

Setelah beberapa purnama melalui waktu getir, kini tiba jua saat yang ku nanti-nanti..  BAHAGIA(di dalam hati sudah mekar dengan dahlia dan segala bagai) dengan apa yang aku suka.. masa untuk bermain sudah tiba..

















Alhamdulillah.. Syukur ya Rahman..

Cukup buat kali ini dulu yah, nanti jika dia ingin bersahabat lagi.. pasti kita akan bercerita tentang foto di atas itu... Insya Allah.

Salam rindu buat pembaca tegarku(ada ka?)

Wednesday, October 05, 2011

Lemaran Ketiga II

Salam Zulkaedah semua. Masih ingat lagi tak entri Lemaran Ketiga sebulan yang lalu? Setelah melepasi hari-hari yang kelabu... baru malam ini terasa ingin menyambung ceritanya kembali.

Rombongan kedua itu adalah dari Radio Televisyen Brunei kitani. Mereka melamar untuk Insan Seni. Sesuatu yang tidak pernah tersenarai dalam impianku. Apalagi mahu bermimpi. Biar betul.

Beberapa kali aku membaca warkah tersebut. Memang seperti aku bermimpi. Di dalam hati terdetik.. Apakah ini jawaban atas doa-doaku? Subhanallah.. Sesungguhnya Engkaulah yang merancang segala sesuatu untuk kebaikan duniaku.. Dan ku mohon pada-MU ya Rahman.. KAU elokkan lah jua akhiratku. Amin Ya Rabb..













Dan di kesempatan ini juga, dari lubuk hati yang paling dalam, izinkan saya mengucapkan jutaan terima kasih pada Radio Televisyen Brunei, khasnya team INSAN SENI yang telah begitu jauh menjejaki saya dan bekerja keras mengangkat hasil kerja-kerja saya dan sekali gus memartabatkan bagas tangan saya sebagai sebuah hasil seni yang unik. Moga kerja keras abiskita mendapat ganjaran baik dari-NYA jua. Amin Ya Rabb..



Dan buat paradian sekepala; Reyma, Ryn dan Minah, terima kasih menjadi tongkat saktiku. Juga terima kasih buat anakda; Lutfi, Liyana, Lutfan, Leynah dan anakda saudara; Ayu dan Azmina, yang menjadi tong oksigenku. Tidak lupa jua buat suami yang sentiasa berdiri di belakangku.. Tanpa kamu, tiadalah aku di situ..

Sayang semua...



Kadangkala DIA sembunyikan matahari di balik awan hitam-NYA dan diturunkan-NYA hujan bersama petir. Lalu kita kesal. Rupanya... DIA ingin mengirimkan kita pelangi yang indah.

Sunday, September 25, 2011

Alhamdulillah



Salam pagi ahad yang indah. Pagi ini baru dapat angkat muka. Sudah beberapa minggu ini tanat mengejar deadline yang tak mahu menunggu. Memang betul sekali, waktu ini jika dikejar, dia makin pantas berlari. Hingga kita lelah dan tersesat sendiri, tak dapat jalan pulang.

Oh Yah! Sambutan lebaran anda bagaimana? Kami di sini masih lagi hangat berkunjung ziarah ke rumah sanak-saudara dan teman-teman.

Semalam di ofis, sempat jua beraya di Jabatan Perangkaan. Suasana cukup meriah. Hidangan pun penuh meja, ada bermacam-macam jenis mi yang disajikan. Tak ketinggalan Nasi Ayam Penyet dan berbagai-bagai lagi juadah yang mengecurkan. Tak larat nak memakan semua.

Pada malamnya pula beraya lagi pada sahabat yang tinggal di Kg.Telanai. Pun jua sama, meriah dengan anak-anak riang ribena yang bermain unggun api di halaman rumah. Di dalam, hidangan berbagai-bagai sudah sedia menunggu. Dengan ketupat, lemang dan rendang. Pulut hitam, puding oreo dan kek cawan lengkap menyerikan meja hidangan. Memang sedap hingga Leyn menjilat sudu. Terima kasih kak Ann jangan jara menjamu kita-kita ini. Dan ampun sesangat, anak-anak kakmOn ni memang tak senonoh sungguh. Haisy...

Ok, kita tinggalkan sketsa berhari raya di hari sabtu itu. Di bawah ini kakmOn kongsikan juadah hari jumaat lepas, sewaktu rombongan I.S berkunjung di rumah. Nanti kakmOn stori-mori tentang rombong itu yah.



Roti Bakar Daging Romano Berkeju

10 keping roti sandwich
1 cawan daging cencang
1 ulas bawang putih di cencang
1/2 cawan sos Tomato Klasik Berkeju Romano - RAGULETTO
1/2 cawan sos cili - LINGHAM
1/4 cawan minyak zaitun
Secubit garam
Secubit oregano
Keju Parmessan diparut

Tumis bawang putih bersam minyak zaitun hingga keperangan. Masukkan sos tomato dan sos cili. Masukkan daging cencang. Masak 10minit.




Ambil sekeping roti paun dan tambahkan daging yang dimasak sebentar tadi. Parutkan parmessan keju di atasnya. Bakar hingga keperangan.



Hidangkan bersama sup cendawan sementara masih panas.



Akhir kalam, terimakasih pada teman-teman yang sentiasa meninggalkan komen dalam entri-entri yang ku kongsikan itu. Aku memang cukup gembira membacanya. Moga kita bertemu lagi di lain waktu. Salam sayang pada anda semua..

Tuesday, September 06, 2011

Sedetik...

Begitu pantas waktu berlalu. Hari ini sudah 7Syawal, namun aku tetap tenggelam dengan kerja yang tak surut-surut. Kartu yang sudah lama ku siapkan pun tak sempat ku hantar ke pejabat pos. Ampunkan daku pada yang menuggu. Memang tak patut. TAK PATUT. :'(



Sambutan Aidilfitri tahun ini SANGAT singkat. Anak-anak mula sekolah seawal raya keenam. Jadi untuk tidak menghampakan mereka-mereka yang teringin menjamu selera di rumah, aku terpaksa memilih hari sabtu, sehari sebelum sekolah dibuka semula.

Rumah masih belum kemas sepenuhnya. Faham-faham saja lah.. bila semua benda kita kena buat sendirian. Lalu aku pinjam Ayu(my niece)  untuk membantuku di dapur. Dalam keadaan yang 'tenat', aku, kakak, Ayu dan Leyn cuba menyiapkan hidangan di dapur. Bang Mat masih lagi 'berperang' dengan projek sinki di luar. Abang pagi-pagi sudah pergi kuliah.

Setelah aku siap membuat Non-Bake Oreo Cheese Cake, aku cepat-cepat merebus tulang sapi, daging kerbau dan kambing di atas api serentak. Di dalam ketuhar pulak kek keju sedang mekar harum. Kakak dan Ayu membuat kek cawan coklat berintikan coklat Nuttella. Leynah menyusun biskut coklat di dalam mangkok kristal. Lutfan sedang memvacum di ruang tamu. Keadaan memang kelam kabut. Hari itu aku memang benar-benar tidak cukup oksigen. Rasanya aku ingin punya tongkat sakti untuk membuat semua kerja rumah. Adusss...

Waktu tengahari, baru dapat menyiang ayam. Aku cuba membuat secepatnya. Tangan yang tergores pisau pun sudah tak terasa pedihnya. Siap ayam dibelah empat, aku terus memasaknya bersama sambal percik(shortcut). Kemudian memasak Pajeri Nenas. Kemudian Nasi Minyak. Kemudian Kambing Briyani Masala Bombay. Kemudian Rendang Daging. Dan kemudian.. Dan kemudian.. Dan kemudian.. Sampai pukul 7malam..  PENAT.

Rupanya di luar... tetamu sudah penuh ruang tamu. Subhanallah. Ruang belakang untuk makan bersantai pun tidak sempat dikemas lagi. Meja dan alasnya terdampar bersama longgokan kerusi yang belum siap diatur. Aduhaiiii cik Pe'ah. Sayang Sarawak sungainya sempit...

Baru pukul 8:30malam, hidangan yang cukup untuk 200 orang itu pun sudah habis bersih. Hah! Habis :O

Bang Mat panik, aku apatah lagi. Lalu si abang kami kerahkankan membeli saja ayam golek dekat pasaraya di sebelah. Seperti ceritera-ceritera kelmarin. Tetapi malam itu adalah yang paling sedih. Sepupu sepapat yang datang hampir tengah malam itu cuma dapat makan seadanya.. Huhuhuhu... Ampunkan kami..

Jadi, faham-faham saja lah.. tiada ada foto untuk kita kongsi di sini. Keadaan memang haru-biru. Jurugambar kita pun 'cedera parah'. SEKIAN wassalam.

Salam Aidilfitri kami ucapkan kepada semua, dari lubuk hati yang paling dalam kami mohon maaf pada tetamu yang tak sempat kami salami. Maaf zahir dan bathin.

p/s mungkin kita kena buat sekali lagi untuk saudara sekapala dan sepupu sepapat.. tapi bila? Kudrat?

Tuesday, August 23, 2011

Lemaran ketiga

Salam 22Ramadhan semua. Kita sudah di dalam 10 terakhir Ramadhan. Satu malam yang dicari. Malam rahsia. Moga kita sama-sama menemukannya dan mendapat barakahnya. Amin Ya Rabb..

Di bawah ini aku kongsi video klip yang begitu menyentuh kalbu; Bulan  Kerinduan, yang dinyanyikan oleh penyanyi tempatan Shahrizan Masri. Lagu dan lirik juga orang tempatan kita, Omar Hj Abd Rahman. Silakan..



Oh yah! Cerita nak sambut raya ni, pasti awda semakin sibuk, kan? Begitu juga aku di sini. Rasanya aku benar-benar lelah mengejar waktu yang tak mahu menunggu. Pembantu yang belum timbul-timbul. Kerja rumah yang menimbun. Belakang rumah yang semakin laggas(kering). Nasib baik dua tiga hari ini hujan turun hampir setiap hari. Bersiram juga taman belakang. Alhamdulillah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Minggu lepas, waktu aku sedang menunggu di Surgical Clinic, hospital RIPAS, mataku terpaku melihat hiasan di ruang tunggu itu. Sungguh kreatif. Cuba lihat di bawah ini..

(klik foto tersebut untuk paparan besar dan jelas)


Terasa raya benar-benar sudah di ambang pintu, meriah kan?

Terimakasih pada cik misi yang sangat sporting. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan bathin pada abiskita semua.

Lupakan cerita di atas, I nak stori U sesuatu.. Beberapa minggu lalu aku telah dilamar oleh dua rombongan serentak.

Rasaku? Terkedu.

Lalu lemaran itu aku terima kedua-duanya.

Nak tahu siapa rombongan pertama itu? Lihat di bawah ini..





Dan rombongan kedua? I stori U di lain waktu yah..

Kita layan dulu hidangan yang mungkin bisa memeriahkan meja awda di pagi Syawal nanti. Untuk mencari kelainan, cuba hidangkan kek cawan dalam sebiji cangkir comel. Pasti dia dapat mencuri hati tetamu awda.



psssttt.. idea itu teruji berhasil. Ingat tak waktu Pameran Urusan Rumahtangga bulan lalu. Kek dalam cangkir itu dapat memikat hati juri.. KakmOn dapat tangga kedua. Sungguh tak terduga bila melihat semua kek cawan yang dipertandingkan sangat-sangat hebat belaka.



Sampai di sini dulu yah, nanti ada waktu kita sambung cerita seterusnya. Salam Lailatul Qadar semua.

Sunday, August 07, 2011

Sungkai

Salam Ramadhan semua. Belum sampai seminggu kita berpuasa, mood memasak meredum jatuh. Rasa malas memenuhi ruang jasad. Apalagi bila tiada P.A. di sisi. Balik kerja sudah merasa penat ya amat. Bila jumpa batal, keinginan nak buat makanan itu, makanan ini, untuk berbuka, hanyut bersama dengkur paus biru. Adieeeeh..

Akhirnya aku hanya akan memasak suatu yang mudah aja... Seperti menu yang sudah-sudah. Ikan temenong bakar dengan cicah air asam, ikan kari, sayur kailan sos tiram, sambal mangga dari kebun belakang, kurma dan buah-buahan yang lain. Silakan...




















Akhir kalam selamat berbuka semua. Jika kudrat mengizinkan, Insya Allah kakmOn akan bercerita lagi di lain waktu. Moga rezki yang kita hadapi di meja berbuka itu membawa sejuta barakah kepada kita sekeluarga. Sayang awak semua.