Wednesday, April 04, 2007

Kata Alu-Aluan dari Tokoh Wanita Brunei Kita

Bismillahir Rahmanir Rahim

Terlebih dahulu saya sukacita merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dayang Nina Suria yang telah memberi penghormatan kepada saya untuk memberikan sepatah dua kata dalam buku ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada beliau kerana telah berjaya membukukan hasil-hasil ciptaan masakan ibu beliau yang lebih dikenali oleh kami sebagai Dayang Hajah Halimah Haji Yussof.

Nama Dayang Hajah Halimah tidak asing lagi di kalangan kami ahli-ahli Persatuan Pertiwi, Negara Brunei Darussalam. Beliau seorang yang aktif dalam berbagai-bagai kegiatan termasuk pernah menjadi ahli Jawatankuasa, tetapi bidang yang benar-benar membuat namanya terkenal ialah bidang masak-masakan. Dalam Pameran Urusan Rumahtangga yang dikelolakan oleh Persatuan Pertiwi setiap tahun sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Brunei dan Muara tahun-tahun lapan puluhan dan awal sembilan puluhan, Dayang Hajah Halimah telah menggondol hadiah dalam tiap-tiap kategori masakkan yang disertainya dan beberapa kali memenangi hadiah terbaik bagi keseluruhan dan menerima hadiah yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dalam Majlis Perasmian Dan Penyampaian Hadiah bagi pameran tersebut.

Saya yakin buku “Bagas Tangan Bu Apsah” ini akan dijadikan satu bahan rujukan oleh wanita-wanita terutama yang mengenali Allahyarhamah Hajah Halimah khasnya dan wanita-wanita lain amnya.


Datin Paduka Hajah Jusnani Haji Lawie
Pengerusi Tetap Persatuan Pertiwi 2006-2008

Posted by Picasa

No comments: