Saturday, June 30, 2007

Bu Apsah a.k.a Hajah Halimah

Posted by Picasa


Aku dihujani emel yang menanyakan soalan yang sama. Siapa Bu Apsah?. Mungkin ada yang keliru. Atau mungkin juga kerana ada yang tidak membaca dalam segmen Pendahuluan di dalam buku tersebut, yang mana menghuraikan serba sedikit sejarah Bu Apsah. Yang pasti Nina Suria bukanlah Bu Apsah.

Disini ku tinggalkan catatan yang pernah Nina publish di laman http://ninasuria.blogdrive.com untuk jawaban ITU. Dan pada orang Barunai kitani yang tertinggal edisi ulasan bertajuk 'Sumbangsih Untuk Bonda' di Media Permata keluaran 2hb Mei 2007 lepas, abiskita bolihlah membaca artikel itu di bawah ini:

~*~

Dulu-dulu sebelum ada kedai menjahit langsir dan kedai yang menawarkan pakej perkahwinan, di kampong kami Babu[1]lah yang menjadi tukang jahit kelambu, 'interior designer' bilik pengantin, tukang hias pelamin, tukang gubah bunga, tukang hias barang hantaran dan memasak lauk pauk dan kuih-muih hantaran. Babu juga tukang masak kenduri kahwin, barangkali mewarisi kepakaran Nini Laki[2].

Babu seorang wanita yang dianugerahi pelbagai bakat, dia jenis yang 'pemandai tangan', apa saja seni tangan wanita boleh dibuatnya, menjahit, mengisi[3], mengait, membuat dan menggubah bunga, memasak, mengandam, menghias ruang dan bermacam lagi. Bagaimanapun, sedari banyak cabang seni tersebut, Babu lebih menyerlah di bidang masakan.

Babu sangat mencintai dunia masakan. Walaupun hadiah-hadiah yang ditawarkan tidak sebesar mana, Babu terus aktif dalam pertandingan masak-masakan. Babu juga 'bekarih'[4]menyertai pameran-pameran yang diadakan di Daerah Brunei Dan Muara seperti Pameran Peladang anjuran Jabatan Pertanian di Hortikultur Rimba dan Jubli Perak Sultan Menaiki Tahta, mempromosikan resepi-resepi bagas tangannya.

Resepi-resepi bagas tangan babu pernah dimuatkan dalam dua buah buku; Resepi Bingka Tarap dalam buku 'Sumbangan Resepi Masakan Sempena Jubli Perak' dan beberapa resepi tempatan dimuatkan dalam buku 'Pameran Kraftangan Brunei Sempena Sambutan Jubli Perak Sultan Menaiki Tahta'.

Babu memang bercita-cita untuk membukukan resepi-resepi bagas tangannya.Usahanya untuk membukukan resepi-resepi bagas tangannya dibuat dalam tulisan tangan beserta lakaran-lakaran tangannya sendiri di salin gambar (photocopy) dan dijual hanya dengan harga perkhidmatan salin gambar tersebut.

Babu juga pernah menjadi guru kelas memasak yang dikelolakan Kementerian Pendidikan dan guru Urusan Rumah Tangga di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan. Selain mengajar resepi-resepi yang disediakan, Babu juga turut diminta untuk mengajarkan resepinya sendiri.Sesekali aku pernah menemankannya mengajar di Sekolah Melayu Laila Menchanai di Kampong Ayer.Walau susah payah naik turun perahu menyeberangi Sungai Brunei, Babu tidak pernah bolos. Babu sangat gembira menemui pelajar-pelajar kelas dewasa yang begitu minat belajar.Kerana mengajar kelas masakan jugalah, Babu turut dikenali dengan nama Cikgu Hajah Halimah. Kata Babu, walaupun cita-citanya dulu untuk menjadi cikgu tidak tercapai, tapi dapat juga dia merasa panggilan itu walaupun cuma mengajar memasak.

Babu memang seorang wanita yang gigih dan kuat semangat. Minat yang mendalam dalam bidang masakan membawanya membuka perniagaan dalam bidang ini. Jatuh bangun dunia perniagaan tidak pernah melunturkan semangatnya, kegigihannya memang mengkagumkan kami anak-anaknya dan sesiapa yang mengenali dirinya.Babu berpulang ke Rahmatullah pada 4hb. Julai, 2004 dalam usia 57 tahun setelah setahun bertarung nyawa melawan barah limfoma.

Sebagai melunaskan impian Babu, kami mengakas[5]kembali resepi-resepi bagas tangannya yang pernah menjadi kegemaran ramai suatu waktu dulu. Dengan bantuan peradian Babu dan semangat kuat Nina Suria, akhirnya lahirlah buku resepi 'Bagas Tangan Bu Apsah'.

Atas segala rasa kasih dan demi mengenang usahanya , kami ungkayahkan[6]penerbitan buku ini, seperti kata Nina Suria di dalam blognya (http://ninasuria.blogdrive.com):
"Sebenarnya buku ini adalah sumbangsih untuk bonda Hjh Halimah Haji Yussof, juga kepada negera Brunei yang tercinta. Ianya bukanlah untuk mengejar glamor atau mengaut keuntungan semata-mata. Ianya lebih merupakan sebuah tanda hati dari seorang anak kepada ibunya atau seorang rakyat pada negaranya. Jika anda berkesempatan memilikinya anda akan dapat merasakan rasa cinta itu hadir di dalamnya. Salah satu daripadanya; Kek Lapis Raja Isteri adalah dicipta khas untuk seorang wanita yang tinggi dimata rakyat Brunei Darussalam. Dirgahayu kebawah Duli Tuan Patik."

Segala puji dan syukur hanya bagi Allah, yang telah melorong jalan dan melapangkan urusan sehingga impian ini terealisasi. Terimakasih yang tidak terhingga buat semua yang terlibat dalam pembukuan 'Bagas Tangan Bu Apsah', semoga mendapat ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Al-Fatihah buat Bonda Marhumah Dayang Hajah Halimah @ Hafsah binti Haji Yusuf.

- Dang Ayang -
[1] Babu: panggilan bagi Ibu di kalangan orang Barunai
[2] Datok
[3] menyulam (embroidery)
[4] 1. berusaha, 2. sanggup melakukan
[5] menyelongkar
[6] berusaha melaksanakan