Tibadak? Pasti anda merasa pelik, kan? Tibadak dalam Glosari Buah-buahan DBP Brunei adalah sejenis buah yang mudah didapati di kepulaun Melayu. Berbatang lurus dan mencapai ketinggian 20 meter atau lebih. Daunnya tinggi dan buahnya berkauliflori pada batang. Buahnya adalah sinkarpa, biasanya berbentuk silinder dan apeks bulat.
Jika anda pening... Tibadak = cempedak. Saudara-sepusat-sepusing buah cempedak lah tu.. Buang karan betul kakmOn ni kan??? Oooopsey... (@_@)
Saat ini kita masih dalam musim buah-buahan yang juntrah(melambak)di mana-mana. Sehingga harganya meredum turun. Rezeki Tuhan yang melimpah ruah.
Dan... kakanda sulung dan juga ipar ku, yang punya dusun di Ulu itu, mengirimkan aku 'selori' buah segala bagai. Hingga dapurku tak ubah bau Pasar Malam Gadong aja jadinya.
PA ku pagi-petang dengan cucur tibadak.. cucur tarap. Adik sudah sek-sok-sek-sok menyuruh aku menukar hidangan. Akhirnya aku teringat bingka tibadak arwah bonda yang menjadi juara di Pesta Masak-Masakan Jubli Perak Baginda Sultan menaiki tahta, satu waktu dulu.
Tapi...
Bingka adalah spesis yang tidak mahu bersahabat dengan aku. Beberapa kali memcuba, akhirnya kecundang jua. Lalu, aku lantak aja membakar muffin.
Jom kita buat sama-sama...
6 biji telur gred B
4 cawan tepung naik sendiri (aku guna Prima)
2 cawan puri buah tibadak(isi tibadak dikisar halus bersama susu segar)
1 cawan minyak sayuran (aku guna mazola)
1 cawan gula pasir (kisar)
1/2 cawan susu segar
1 sudu teh bicarbonate of soda
25 keping mangkuk kertas muffin
PANASKAN ketuhar 200celcius
PUKUL telur, puri tibadak, susu segar dan minyak sayuran dengan sudip kayu, sebentar.
MASUKKAN tepung, gula dan bicarbonate dan pukul lagi hingga mesra. Cukup sekadar semua bahan tergaul mesra.
MASUKKAN adunan tadi kedalam mangkuk kertas muffin, 3/4 penuh.
BAKAR dengan api 170-180Celcius sehingga kuning keemasan.
BEDAKKAN dengan gula aising sebelum dihidangkan.
Si adik sudah cukup 'gumbira' menikmati muffin tibadak panas-panas. Pipi 'pinggan makan Mikasanya' sekejap kembung, sekejap kempis, menelan satu demi satu muffin yang lembut, lembab dan segar itu. Memang cukup mengkagumkan tekstur dan rasanya. Tidak terasa satu dulang sudah habis kami balun. Cubalah sendiri jika ingin menikmati kelazatannya..
Silakan...