Monday, May 02, 2011

Cerita lama



Salam lagi untuk petang isnin ini. Dan sebelum aku terlupa, nak ucap terimakasih pada tetamu sepiku yang sentiasa menziarahiku di sini. Walau anda tak bersuara namun 'tapak kasut' yang ditinggalkan itu sudah cukup memberiku semangat untuk menulis lagi sesuatu di sini.



Hari begitu cepat beredar. Usia kita terus berlari. Apa lagi melihat wajah tua mentua... hati sedikit bergetar.. Moga DIA sentiasa merahmatinya.

Sementara mentua berada di rumah, aku cuba menghilangkan rasa bosannya. Lalu cucunya yang di seberang Sungai Brunei itu ku kerah untuk menghantar balang tembaga bersama cangkir besi neneknya ke rumahku. Lalu petang itu kami beroperasi membuat kuih lama itu; buahulu.



Tangan tua itu cermat memecahkan 12 biji telur lalu memasukkan ke dalam mangkuk pengadun kek. Kemudian dia masukkan lagi 2 cangkir gula pasir ke dalamnya.



Lalu dia mengarahkanku untuk memukul bahan-bahan itu dengan kelajuan maksima. Di mataku terbayang waktu kecilku bersama arwah bonda, sedang memukul telur dan gula di dalam sebiji mangkuk batu dengan sebatang ballon whisker yang sederhana besar. Kocokan itu menghasilkan buih-buih yang sangat indah di mata kanak-kanak ku, saat itu. Sungguh seronok melihat buih telur yang semakin naik dan menggebu, sekali gus mengecurkanku. Bila mata bonda ke arah lain, jari kecilku dengan laju mencolek buih telur  itu dan terus memasukkannya ke dalam mulut. Adussss manisnya memori itu.



Di dalam ketuhar sudah siap balang tembaga itu dipanaskan.



BIla telur dan gula sudah cukup naik dan gebu,  mesin pengadun pun dimatikan.



Mentua terus memasukkan tepung gandum ke dalam adunan telur tadi. Aku disuruh mengadun tepung itu hingga rata.



Bila sudah teksturnya nampak pekat, mentua pun berhenti memasukkan tepung. Dia terus mengarahkanku mengeluarkan kembali balang tembaga yang dipanaskan tadi.



Dengan cermat aku memasukkan 3/4 adunan buahulu itu ke dalam balang tembaga yang panas.



Kemudian kami terus membakarnya di dalam ketuhar dengan tahap api, 180 darjah celcius .



30 minit kemudian aroma harum buahulu memenuhi ruang dapur. Aku terus mengeluarkan buahulu yang sudah cantek masak dibakar.



Dan petang itu kami berpesta buahulu panas-panas dari hasil teknologi baharu. Kenapa aku berkata begitu, waktu dulu, arwah bonda mengocok dengan tangan bukan dengan mesin pengadun itu. Dan bila membakar pula, dia menggunakan kayu arang bukan dengan ketuhar..

Rasanya pun berbeza dari buahulu berteknologi tinggi itu. Yang lama itu lebih beraroma dan lunak bila dimakan. Titik.





Sekian untuk entri kali ini. Pesananku, cerita lama jangan dibuang, simpanlah dalam memori kalbu, pasti ada rasa manisnya di situ. Sayang buat semua..

9 comments:

NoRa said...

cantik bahulu tu...

Nina Suria said...

trimakasih nora, air tangan orang tua memang cantik, salam pagi selasa :)

notie said...

wah kak mon nostalgia sungguh lah. Buat saya terkonang semasa dulu time buat kueh bahulu lah. Mak kita buat bahulu lapis, bahulu gulung dan juga bahulu yang kecil2 kadang ada gambar ikan. Entah mana tembaga bahulu tu tak tahu lah. Pakai dapur kayu semasa membakarnya. Lepas sahur ja mak dah paksa kayuh tangan adun gula dan telur. Pakai balang tempayan (bukan tempayang besar isi air tapi tempayan buat kueh punya)yang pada mulanya suku sampai jadi penuh. Colek curi makan tu tak leh le sebab buat bulan puasa. hehehe tapi kalau tak puasa mesti saya pun ikut cam kak mon juga. Colek makan hehehe. Huwaa....memori menolong mak buat kueh mengimbau semula. Dulu mak buat kueh untuk jualan semasa raya. Kueh karas, kueh penderam (tepung beras buat sendiri, tumbuk tau dan ayak jadi tepung), kueh sagun potong (susah nak cari sekarang dan org pun dah tak kenal lagi)kueh putu kacang.

Wah dah banyak ni cerita saya. Apa pun memori itu dalam lipatan ingatan dan sejarah.

Nina Suria said...

notie sayang, seronoknya mendengar cerita lama notie tu, kakmOn suka. Apalagi bila mengimbau makanan lama yang dah pupus. Kuih sagon potong tu ada kah ia sama dengan kuih papan kat berunai. Teringinnya nak makan. Dan kuih putu kacang itu adakah ia kuih koya. Hari tu sempat kongsi kak uya dengan kuih koya yang diperbuat dari tepung kacang hijau(ole2 warung di singapura) itu. Sayang waktu tak ingin bersahabat, kita tak dapat berjumpa huhuhuhu

notie said...

Kuih sagun potong tu tak tahulah samada ianya sama dengan kuih papan di brunai. Tapi adunannya macam buat sagun , tapi ditekan-tekan pada acuan 4 segi panjang.Tekan pun takboleh kuat sangat takut lepas bakar tak boleh keluar dari acuan. Bab tekan adunan tu mak saya le. Kalau saya yang buat asyik le kena ketuk tangan sebab ganas sangat. hahahahaha. Bakar dalam oven buatan sendiri dan bakar pakai kayu. Lepas masak baru di hiris kepingan tersebut.

Hah betul lah kuih putu kacang tu kuih koya. Selalunya mak buat lepas sahur. Tepung kacang yang dah di campur dengan gula akan di embunkan kat atas bumbung rumah. Jadi bila pagi di tekan dalam acuan dan terus di jemur. Tekan pun tak boleh kuat sangat takut nanti jadi keras kuih koya tu. Bila makan cair di mulut. hehehehe terus rasa lapor. hahahaha

Ada satu lagi kuih yang dah lupus iaitu kuih kering yang berpntal gitu macam bunga. Rasa saya hanya pakai tepung je kut adunannya. Sebab lepas buat pintalan tu di goreng dan dia akan kembang gitu dan lepas tu di jemur. Lepas tu nak makan gitu pun boleh nak sedap di sira gula. Saya dah lama tak nampak kuih tersebut. Nostalgia kan citer kuih lama-lama. Bahulu gulung dengan inti nenas buatan sendiri. Bahulu lapis dengan warna merah dan kuning disetiap lapis dibubuh jem tapi seingat saya bukan jem nenas. Semuanya di bakar pakai dapur kayu jadi baunya memang semerbak harum dan sedap.

Dengar citer hari ahad kena tahan kat lobby tak leh buka kunci jadi kesian kat orang jauh tu penat2 sampai mesia. Insyallah kalau Bagas tangan bu Apsah ke 2 keluar kan boleh reunion lagi. Cayang kakmon.

Nina Suria said...

uwaaaa dengo cerita kuih koya notie tu, merembas aiq lioq naaa... cair di mulut.. emmmmm syedapnya..

bahulu gulung tu arwah mak pon buat gak, tapi bukan ngan jem nanas homemade, guna jem kaleng aja.. dan yang bahulu lapis tu pun ada gak, memang kita orang melayu serumpun bahasa dan budaya, canteknya ;)

a'ah hari tu.. taktau pulak bilik tu tak confirm, sib bik b.mat bawak 'pass minyak tanah' Tuan Esmit, kalau tak.. habislah kena sewa mesjid :D

madoka miyajima said...

KMon..Jid datang melawat pakai boot merah ya..*...hehe...

Oh! KMOn... kemanisan dan haruman bahulu itu terasa hingga ke sarang burung ni. KMon sapu apa pada balang tembaga itu nak bg tak melekat? minyak yang kita tgk kat ICCA hari tu boleh pakai ka? hehehe

CT NoArIzAh ArIs said...

Sedapnya bahulu panas itu... sy juga suka memakannya sewaktu masih panas jika sejuk suka lak cicah dgn kopi... errrmm sedap juadah warisan ni !1

Nina Suria said...

Ct Norarizah
memang buahulu nie sedap, harap akan kekal zaman berzaman. Terimakasih ziarah kakmOn di sini.