Salam lagi untuk petang isnin ini. Dan sebelum aku terlupa, nak ucap terimakasih pada tetamu sepiku yang sentiasa menziarahiku di sini. Walau anda tak bersuara namun 'tapak kasut' yang ditinggalkan itu sudah cukup memberiku semangat untuk menulis lagi sesuatu di sini.
Hari begitu cepat beredar. Usia kita terus berlari. Apa lagi melihat wajah tua mentua... hati sedikit bergetar.. Moga DIA sentiasa merahmatinya.
Sementara mentua berada di rumah, aku cuba menghilangkan rasa bosannya. Lalu cucunya yang di seberang Sungai Brunei itu ku kerah untuk menghantar balang tembaga bersama cangkir besi neneknya ke rumahku. Lalu petang itu kami beroperasi membuat kuih lama itu; buahulu.
Tangan tua itu cermat memecahkan 12 biji telur lalu memasukkan ke dalam mangkuk pengadun kek. Kemudian dia masukkan lagi 2 cangkir gula pasir ke dalamnya.
Lalu dia mengarahkanku untuk memukul bahan-bahan itu dengan kelajuan maksima. Di mataku terbayang waktu kecilku bersama arwah bonda, sedang memukul telur dan gula di dalam sebiji mangkuk batu dengan sebatang ballon whisker yang sederhana besar. Kocokan itu menghasilkan buih-buih yang sangat indah di mata kanak-kanak ku, saat itu. Sungguh seronok melihat buih telur yang semakin naik dan menggebu, sekali gus mengecurkanku. Bila mata bonda ke arah lain, jari kecilku dengan laju mencolek buih telur itu dan terus memasukkannya ke dalam mulut. Adussss manisnya memori itu.
Di dalam ketuhar sudah siap balang tembaga itu dipanaskan.
BIla telur dan gula sudah cukup naik dan gebu, mesin pengadun pun dimatikan.
Mentua terus memasukkan tepung gandum ke dalam adunan telur tadi. Aku disuruh mengadun tepung itu hingga rata.
Bila sudah teksturnya nampak pekat, mentua pun berhenti memasukkan tepung. Dia terus mengarahkanku mengeluarkan kembali balang tembaga yang dipanaskan tadi.
Dengan cermat aku memasukkan 3/4 adunan buahulu itu ke dalam balang tembaga yang panas.
Kemudian kami terus membakarnya di dalam ketuhar dengan tahap api, 180 darjah celcius .
30 minit kemudian aroma harum buahulu memenuhi ruang dapur. Aku terus mengeluarkan buahulu yang sudah cantek masak dibakar.
Dan petang itu kami berpesta buahulu panas-panas dari hasil teknologi baharu. Kenapa aku berkata begitu, waktu dulu, arwah bonda mengocok dengan tangan bukan dengan mesin pengadun itu. Dan bila membakar pula, dia menggunakan kayu arang bukan dengan ketuhar..
Rasanya pun berbeza dari buahulu berteknologi tinggi itu. Yang lama itu lebih beraroma dan lunak bila dimakan. Titik.
Sekian untuk entri kali ini. Pesananku, cerita lama jangan dibuang, simpanlah dalam memori kalbu, pasti ada rasa manisnya di situ. Sayang buat semua..