Friday, June 24, 2011

Alhamdulillah Ya Allah



Salam jumaat yang barakah. Kebelakangan ini kesihatanku meredum jatuh, acap kali terlihat bintang-bintang sedang berpusar-pusar di atas kepala. Ada waktunya aku hilang kawalan lalu tumbang. Tapi aku masih bernasib baik, bisa bangun lagi sendiri.. Alhamdulillah.

Tadi pagi sekali lagi penglihatanku hitam. Sedar-sedar aku cuma mendengar bunyi hentakkan kuat. Rupanya aku sudah melanggar buntut kereta di depan. Ya Rabbi...

Dan aku masih bersyukur tiada kejadian apa-apa berlaku. Tiada orang yang tercedera, cuma lampu kereta orang itu saja pecah dan aku kena ganti..



Oh yah! Kita sudah di penguhujung Rejab dan sebentar lagi Sya'ban menyapa. Nak tanya, sudah siap qadha puasa Ramdhan tahun lepas ka? Kalau belum, mari kita sama-sama berpuasa qadha di bulan Allah yang menyimpan beribu rahsia ini.

Dan di bawah ini aku kongsi hidangan waktu berbuka kami yang amat sederhana...



Buah kurma adalah menu yang mesti ada bagi keluarga kami waktu berbuka.



Alhamdulillah..  Air zam-zam pun masih lagi ada tersimpan di dalam stok.



Buah sikoi penyejuk tekak dan amat manis rasanya, sesuai waktu panas begini. Dan Keu Teow goreng itu amat menyelerakan dan sangat mudah menyediakan, seperti abc. Jom kita masak sama-sama




1 - Sediakan, 3 biji bawang merah, 2 ulas bawang putih, sebiji cili merah dan seikat sawi kuning. Bersihkan dan potong mengikut suka. Ketepikan.

2 - Isi ayam  di potong kecil.



3 - Tumis bawang hingga garing bersama 1/2 cawan minyak bijan. Masukkan isi ayam. Goreng hingga isi ayam masak.



4 - Masukkan 1 sudu besar cili kisar, cili merah, batang sawi. Masak sekejap.



5 - Masukkan 2 biji terlur. Gaul sekejap.



6- Masukkan keu teow, sos tiram dan kicap pekat. Gaul sebati. Masak sekejap lagi.



7 - Akhir sekali masukkan daun sawi. Matikan api. Hidangkan panas-panas..



Kan dah siap. Mudah dan meriah.

Akhir kalam, banyak-banyaklah berzikir kepada-NYA, moga kita semua diampunkan-NYA. Hingga ketemu lagi di lain kesempatan... Sayang semua.

Tuesday, June 21, 2011

Minggu yang singkat



Hujung minggu lalu penuh dengan aktiviti di belakang rumah. Hari jumaat bang Mat mengetam rumput. Aku membaja bunga dan bertanam bawang merah yang damal. Sayang nak dibuang. Jadi, bawang yang terendam air itu kami tanam di dalam sebiji planter yang panjang.









Kemudian membaiki wind chime ku yang jatuh itu... Mungkin ada kucing yang geram sangat pada kulit-kulit siput itu.



~ Hari Ahad ~

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
2 biji tomato
1cawan air

1 - Tumis bahan kisar bersama 5 sudu makan kari ikan Adabi.
2 - Masukkan sos cili nasi ayam Thailand. Goreng hingga pecah minyak.
3 - Masukkan 4 biji ubi kentang yang di belah empat dan 1kg ayam yang telah di potong 12.  Masak 10 minit.
4 - Masukkan 2 cawan air, 1 sudu makan garam dan 4 sudu makan air asam jawa.
5 - Masukkan 3 tangkai daun kari. Masak lagi 10 minit atau sehingga daging ayam dan kentang empuk.
6 - Hidangkan bersama roti canai atau yang sewaktu dengannya.




Subuh-subuh lagi bang Mat menyuruhku membuat kari ayam dan roti canai. Perutku rasa sakit yang amat akibat menstruasi yang datang bukan pada waktunya. Dengan rasa malasnya aku akur jua turun ke dapur, memasak makanan yang menjadi kegemaran seisi keluarga.



Belum pukul lapan bang Mat dan anak kemanakannya sudah siap dengan tukul dan gergaji, membena pintu stor yang baharu, menggantikan 'pintu Abu Nawas' yang mengundang tetamu yang tak diundang.



Siap aku memasak ayam kari dan roti canai, di luar jendela kelihatan abang sudah mula menyidai pakaian di ampaian bersama Leynah. Alhamdulillah... ada jua orang menggantikan tempatku. Rasanya aku tidak larat lagi untuk menjenguk mereka keluar. Lalu 2 biji ponston ku telan untuk mengurangkan rasa sakit di bahagian perut dan belakang.







Pukul 9:30pagi bang Mat mengejutkan dari belakang, "Bah! Basiap tah rah orang kawin kitani". Allahuakbar.. malasnya aku... Jadi dalam hati yang berbelah dua tiga.. aku menurut lagi kata enche roommate itu walau hati menjerit.. TIDAKKKKKKKK

Sampai di Kota Minyak sana, hati mula berbunga daisy.. dahlia.. dandilion.. bila melihat sesuatu yang membahagiakan. Alhamdulillah.. rasa yang malas itu sudah pergi meninggalkanku. Terimakasih abang..

Dan untuk menceriakan lagi hariku seterusnya... aku terus menyambung lakaran yang belum siap-siap ini...



Dan tiba-tiba hari ini sudah minggu ketiga bulan jun. Pantasnya waktu berlalu. Hingga kita bertemu lagi di lain waktu. Sayang semua



p/s - buat si budak kenit itu

leyn: babu... kenapa kalau mengupas bawang, kita menangis?
babu: garu kepala.. di dalam hati mencari sesuatu..
kakak: tersengih-sengih, tangan sibuk menyuci pinggan mangkuk di singki.
babu: *tetiba dapat idea yang cemerlang* Pada zaman dahulu, ada seorang puteri telah dipancung kepalanya oleh ayahandanya sendiri, kerana tidak menurut perintah. Kemudian kepala puteri itu ditanam di belakang istana. Tiba-tiba di tempat perkuburan kepalanya itu ditumbuhi bawang berwarna merah darah. Rupa-rupanya, puteri itu telah bersumpah, sesiapa yang mengupas bawang akan menangis dan mengeluarkan airmata pedih. Puteri itu mahu semua orang di dunia tahu bahawa dia telah mati dibunuh kejam oleh ayahandanya sendiri :p
leyn: tadi leynah nampak kaka inda jua menangis..
babu: tertelan putik durghian..
kakak: kihkihkih ketawa gulek-gulek...
babu: OH! Pesan puteri itu sesiapa yang mengupas bawang tidak mengeluarkan airmata, itu tandanya dia seorang yang kejam, serupa dengan ayahandanya. *jeling maut kakak*
kakak: oh nooooooo... babu.. :O

The End

Sunday, June 19, 2011

Burung



Lewat jendela kamarku, di bawah pergola kelihatan seekor murai menjunamkan kepalanya ke dalam mangkuk yang berisi pengagga air, kemudian dia terbang keatas pergola dan mengibar-ngibarkan sayapnya. Kemudian dia terjun lagi menyelamkan kepalanya ke dalam mangkuk yang berisi pengagga air itu. Kemudian naik kembali ke pergola dan mengibas-ngibaskan sayapnya. Beberapa kali dia turun-naik seperti itu.. membuat kan aku terkaku, memerhati betapa indahnya mahluk Allah itu bermandi-manda di dalam mangkuk yang cuma sebesar sebiji mangkuk nasi tambah. Yah mangkuk nasi tambah, itulah yang sebebnar-benarnya.

Dulu, mangkuk yang saya isikan dengan pengagga air itu aku letak di atas meja, di patio. Bila kucing-kucing tetangga suka singgah meminum air di dalam mangkuk pengagga itu... dan mengotorkan meja putihku, lalu aku pindahkan mangkuk itu di bawah pergola, di luar sana. Baru aman.

Entah kenapa kebelakangan ini burung-burung semakin ramai datang kerumah, kekadang ada burung-burung yang spesisnya langsung aku tidak tahu. Hari itu datang sepasang burung berwarna merah di dada, kepaknya pula warna biru tua, sungguh cantik sekali. Dia mematuk-matuk buah beri hutan yang sedang lebat berbuah di belakang. Aku betul-betul terpikat pada burung itu, tapi bila aku mengangkat kamera, mereka terkejut lalu lari terbang.  Hilang dari pandangan. Tak sempat merakamkan wajah mereka. Sayang sejuta kali sayang.




Sebelah pagi, suasana di belakang amat riuh sekali. Kicauan paginya membangunkan semua mahluk alam yang lain. Memang benar-benar menghiburkan. Ramainya mereka seperti yang pernah ku poskan dalam entri  satu waktu dulu. Klik di sini, Tetamu.

Anda boleh bayangkan kemeriahan pagi di belakang rumah ku,  bukan?

Dan di bawah ini... Aku begitu teruja bila melihat ada yang membuat aku bahagia terjual di pasaraya itu; sticker burung-burung itu.. Lalu aku tidak memikirkan dua tiga kali, aku terus menyambarnya. Dan lihat... itulah hasilnya...









Maaf ya aku keburu waktu, nanti kita sambung ceritanya.. Salam pagi minggu.. Daaaaaa

Tuesday, June 14, 2011

Hujung minggu



Salam pagi selasa. Apa khabar anda semua. Durian yang menggoda di atas itu, kita tinggalkan dulu.. Aku cerita fasal libur malam sabtu yah!

Cuti sekolah sudahpun bermula seminggu yang lalu. Anak-anak riuh mau pergi bersuka-ria. Tapi aku dan bang Mat tidak punya waktu untuk itu. Kiri-kanan, depan-belakang, majlis kenduri kahwin memenuhi hujung minggu. Jadi untuk tidak mengecewakan anak-anak, aku sarankan kami 'bercamping' saja. Lutfan dan Leynah sudah mula excited mendengar perkataan 'camping' itu. Bila mereka tahu aktiviti itu cuma di belakang rumah, muncung mereka bertambah panjang berganda-ganda. Tak apalah. Nanti mereka pasti suka dengan idea main bunga api yang ku rahsiakan itu.

Petang sabtu, balik kerja itu aku cuma sempat membeli sayur, buah-buahan dan sushi sahaja di pasar raya Hua Ho. Lalu abang ku pinta untuk singgah ke Restoran Charcoal membeli pizza tulang sirip yang sedap itu sebelum dia pulang ke rumah balik kerja nanti. Nasib baik pagi tadi bang Mat sudah ke pasar membeli salmon dan paha kambing biri-biri. Sampai di rumah aku terus memerap ikan salmon bersama lada hitam + jus lemon +  garam laut  + bawang putih +  minyak zaitun. 

Lepas solat maghrib aku memerap lagi paha ayam bersama asam jawa + serbuk kunyit + cili kisar + garam, untuk barbeku nanti. Rasanya menu malam nanti sudah terlalu banyak, aku mengira-ngira dalam hati. Ada lauk tengiri singgang, salmon salai sos lada hitam, ayam barbeku, brokoli sos tiram, sambal udang petai(selera Reyma), sushi, pizza dan mi hoon goren(terimakasih klavu). Nanti tak larat pulak nak menghabiskannya. Lalu paha kambing, aku simpan kembali ke dalam peti ais. 

Dan lepas solat isyak, abang baru mula menghidupkan api untuk barbeku. Alahai.. bila masa nak makan ni. Perut pun dah mula bernyanyi. Lalu aku ambil jalan pintas, memasukkan paha ayam itu kedalam ketuhar sementara menanti arang-arang itu menyala.

Bang Mat yang baru datang dari masjid, mengangkat kening padaku, tangannya di pusar-pusarkan di atas perut. Awwwwww.. Lalu anak-anak ku kerahkan untuk menyiapkan meja makan. Aku sudah 'kelam-kalibut' mematah-matah daun salad bersama Azmina. Buah epal merah dan buah pear kami potong dadu. Kemudian ku masukkan semuanya ke dalam mangkuk daun salad tadi. Ku tambahkan lagi buah anggur. Kini tinggal membuat dressingnya saja. Tangan ku laju menuang minyak zaitun + jus lemon + cili hidup cencang + daun saderi cencang + French tarragon, ke dalam sebiji mangkuk. Aku kocok dengan garfu, lalu ku tuangkan ke dalam salad tadi. Akhir sekali ku taburkan garam dan lada hitam. Walah.. *dengan mengangkat jari ke mulut gaya Michael Dixon Smith ~ Chef At Home AFC*

Dan pesta makan-makan pun bermula dengan 'meriah'...

Dan foto di bawah ini hanya segelintir saja yang sempat kakak snap, acara 'gede-gede' kita sudah jadi haru biru, kerna semua orang sudah kebulur. Siap makan, aku baru mula mengarahkan kakak dan abang menarik 'layar putih' untuk menonton 'wayang kita'; UP.  

Belum movie UP tamat, hujan 'mengurabat' turun. Abang lintang pukang menarik kabel api yang berselirat di atas tanah. Dan kami terpaksa gulung kembali perkhemahan kami yang baru sahaja nak bermula. Jadi, janganlah menunggu pesta bunga api itu yah! BATAL.


klik foto ini untuk melihat paparan yang lebih besar 

Sebelum aku lupa, kita kembali semula berbicara pasal durian di atas itu lagi.. Durian monthong adalah mahluk Allah yang sangat lunak, gebu, sedap dan wangi. Seulas memang sudah cukup kenyang buat selera kakmOn. Maka sisa durian yang tinggal 3 ulas itu aku tanak bersama gula pasir dan sedikit air, lalu ku hidangkan bersama bubur pulut hitam untuk juadah berbuka puasa... Pada yang tergoda, anda boleh korek resipinya di bawah ini:




Ooooops matahari sudah keluar.. Aku terpaksa pergi sekarang. Nanti kita bicara lagi... Selamat menjamu selera..




Hikmah bulan Rejab
1 - Berpuasa sunat 19hari - maka Allah akan membena sebuah mahligai di syurga untuknya.
2 - Berpuasa sunat 16hari - mereka akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga.
3 - Berpuasa sunat 15hari - maka Allah akan memberi pahala seperti berpuasa seratus ribu tahun(menurut Syaidina Ali)

Wednesday, June 08, 2011

The Rest Of My life



Sambal Ikan Bakar

1 ekor ikan bakar yang sederhana besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang Bombay
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar sos cili Lingham
1 sudu teh puri tomato
1 sudu makan sos tiram
1 lembar asam keping
1 cawan air
Daun kari secukupnya
Garam dan serbuk perasa, secukup nikmat



Tumis bawang merah dan bawang putih hingga keemasan. Masukkan cili kisar, sos cili, puri tomato, sos tiram dan asam keping. Goreng lagi sebentar hingga pecah minyak. Masukkan ikan bakar dan air. Masak hingga sosnya pekat. Masukkan daun kari dan bawang Bombay, masak lagi sebentar, baru angkat dari api. Hidangkan bersama nasi.



Salam pagi rabu yang redup. Semalam hujan lebat dari petang hingga ke malam. Melihat cucuran hujan lewat jendela kamarku, nampak begitu indah dan mendamaikan hati. Suara burung kedengaran bercicipan di kejauhan. Kesian mereka kesejukan.



Baru-baru ini ada teman FB meletakkan lagu The Rest Of My Life ~ Maher Zain di dindingnya. Yang hendak aku perkatakan di sini adalah background lagu tersebut; Movie UP. Selepas melihat pertama kali.. jariku terus menekan punat replay berkali-kali. TIDAK JEMU. Hati tersentuh melihat suami yang begitu penyayang lagi setia pada isterinya. Sehingga kasih sayang Carl dan Ellie itu membuatkan aku teruja untuk meletakkan mereka di atas kek ku.



Alhamdulillah, UP yang memberi sumber inspirasi itu dapat jua ku hasilkan dalam waktu kecederaan. Insya Allah jika ada waktu aku ingin mengulanginya semula.. Membuat yang lebih baik. Dan jika diizinkan-NYA, aku ingin merakamkan perkahwinanan mereka pula. Doakan akan keberhasilanku yah...

Di bawah ini foto perkahwinan anak saudara bang Mat di Sungai Berunai sana. Moga kasih sayang mereka jua sama seperti cinta Carl dan Ellie. Cinta hingga ke hujung nyawa.



Sehingga kita bertemu lagi di di kesempatan yang lain. Dan syukran jazilan pada nikmat hujan yang diturunkan-NYA.Alhamdulillah..



Salam kasih sayang buat anda semua.

Wednesday, June 01, 2011

Selamat tinggal Jamadil Akhir.



Salam semua. Kita sudah berada di penghujung Jamadil Akhir. Lusa adalah bulan Rejab, bulan Allah. Bulan pengampunan. Juga bulan di mana nabi Muhammad s.a.w di angkat ke langit; iaitu peristiwa Israk dan Mikraj pada 27hb Rejab. Anda ingat itu kan?

Sebenarnya terlalu banyak kelebihan dan keistimewaan di bulan Rejab ini Allah berikan kepada umatnya. Pahala berganda-ganda. Keampunan yang nyata bagi mereka-mereka yang benar-benar ingin bertaubat nasuha atas dosa-dosa yang telah dilakukan. 

DIA, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang pada hamba-hamba-NYA. Cuma kita sahaja yang selalu lalai dan melupakan-NYA.  Maka bagi kita-kita yang terleka jauh, marilah kita balik semula ke jalan yang diredhainya dan sama-sama mengutip pahala yang berganda-ganda itu. Moga kita diketemukan juga bulan Sya'ban dan seterusnya Ramadhan, yang ditunggu-tunggu. Amin Ya Rabbalallamin  

Akhir kalam, aku tinggalkan anda dengan Mi Goreng Tai Thong yang mudah lagi sedap untuk berbuka puasa di bulan Rejab nanti. Silakan..

Rebus mi Tai Thong hingga lembut.



Tumis bawang merah dan bawang putih hingga garing. Masukkan udang kering, cili kisar, sos tiram dan sos cili. Masak lagi sebentar.



Kemudian masukkan cili hidup dan batang sawi. Masak sebentar. Masukkan mi Tai Thong. Gaul sebati.



Tambahkan kicap pekat.



Masukkan daun sawi.



Telur dadar separuh masak(kuali berasingan)




Masukkan telur dadar kedalam mi goreng. Gaul sebati.



Hidangkan sementara masih panas.






Diantara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ialah beristighfar kepada-NYA dan berselawat ke atas nabi junjungan kita; nabi Muhammad s.a.w.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : ” Barangsiapa yang membaca salawat untuk ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”.


[Riwayat At-tabrani].